ALOR SETAR - Kanak-kanak berusia lima tahun yang cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Jalan Anak Bukit di sini semalam selepas tindakan bapa mangsa menghimpit kereta dipandu bekas isterinya, masih tidak sedarkan diri dan dalam keadaan kritikal.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, kanak-kanak yang kini dirawat di wad penjagaan rapi pediatrik Hospital Sultanah Bahiyah itu mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan patah tiga tulang rusuk kanan hingga menyebabkan paru-paru kanannya cedera.

"Kanak-kanak tersebut turut mengalami luka koyakan pada pergelangan tangan kanan serta kesan luka di muka, kedua-dua anggota tangan dan kaki," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Yazri Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira 2 petang apabila Jafrul Nizam Jaafar, 38, yang memandu Perodua Myvi mengejar dan menghimpit kereta Perodua Myvi dipandu bekas isteri, Marziana Mahadzir, 37, yang turut dinaiki anak lelaki mereka.

Akibat himpitan itu, kereta Marziana terbabas dan melanggar sebatang pokok di atas pembahagi jalan manakala kereta Jafrul Nizam pula hilang kawalan lalu melanggar Proton Saga yang dipandu seorang anggota tentera, Faizal Baharom, 36.

Difahamkan sebelum kejadian itu, Jafrul Nizam dipercayai bergaduh dengan bekas isterinya itu berhubung hak penjagaan anak mereka.

Dr Norhizan berkata, ibu kanak-kanak itu yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta patah tulang tangan kanan antara siku dengan pergelangan tangan sudah pun sedar dan berada dalam keadaan stabil.

"Bapa kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan teruk dan dia dalam keadaan sedar serta stabil namun dimasukkan ke wad untuk pemerhatian lanjut.

"Faizal dalam keadaan sedar dan stabil dan dia mengalami patah serta keretakan pada tulang di bahagian muka," katanya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORT DICKSON - Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya sebuah kenderaan jentera berat JCB sekitar jam 9.20 pagi tadi di kilometer 2 Jalan Linggi Rantau.
  • BATU PAHAT - “Buat masa ini saya terpaksa berhenti kerja dahulu, anak saya alami kecederaan serius di kaki kanannya akibat kemalangan bulan lalu,” kata Nurul Asyiqin Abdullah, 31.
  • PUCHONG - Dua remaja parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 15.7, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dari arah Saujana Putra ke Shah Alam, di sini, pagi tadi.
  • MERSING - Seorang lelaki maut di tempat kejadian dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di KM 11 Jalan Jemaluang-Mersing awal pagi tadi.
  • KLUANG - Seorang bapa sedia memaafkan penunggang motosikal yang melanggar anak lelakinya, Muhammad Furqan Danial Md Fadzli, 2, di hadapan rumahnya di Jalan Intan 4/5, Taman Intan, di sini, 7 November lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.