GURUN - Dua rakan warga emas berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka mengalami kerosakan brek sehingga menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung ketika turun dari puncak Gunung Jerai melalui Jalan Chalet dekat sini, petang tadi.

Bagaimanapun, difahamkan kedua-dua mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berusia 50-an itu selamat dan hanya mengalami cedera ringan di kaki dan kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba, Safuwan Md Saad ketika dihubungi berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit pada jam 2.40 petang.

Katanya, seramai lapan anggota telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat sebuah kereta jenis  Mercedes Benz telah terjatuh ke dalam gaung dan terdapat dua orang mangsa.

Katanya, pihak bomba telah mengambil tindakan menyelamatkan kedua-dua mangsa dengan menggunakan tali bagi membawa mangsa naik semua ke atas.

"Kerja-kerja membawa naik kenderaan mangsa juga telah dilakukan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.47 petang.

"Hasil perbualan dengan pemandu kenderaan terbabit, pihak kami difahamkan brek kereta mangsa langsung tidak berfungsi ketika sedang dalam perjalanan turun dari gunung menyebabkan kereta berkenaan hilang kawalan lalu terjatuh ke dalam gaung," katanya.