SUNGAI PETANI – Pemberian upah bagi perkhidmatan sembahyang jenazah adalah dibolehkan sekiranya waris berkemampuan namun hendaklah dielakkan sekiranya memudaratkan.

Imam Masjid Matang Gedung, Hamid Salleh berkata, pemberian sampul sebagai upah atau hadiah kepada jemaah yang hadir menunaikan sembahyang jenazah boleh diberikan sekiranya waris mampu berbuat demikian.

“Bagaimanapun, jumlah yang sepatutnya bergantung kepada kemampuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan tentang pemberian upah sembahyang jenazah yang menjadi budaya sesetengah kelompok masyarakat ketika ini.

Dalam masa sama, beliau turut menawarkan perkhidmatan kain kapan, sembahyang jenazah dan kenderaan percuma bagi menghantar jenazah ke kawasan perkuburan bagi anak kariah dalam usaha membantu golongan kurang kemampuan.

“Perkhidmatan ini disumbangkan menggunakan tabung masjid bagi menampung perbelanjaan keluarga jenazah yang kurang mampu,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan berkenaan akan dilaksanakan sekiranya berlaku kematian kepada anak kariah terutama dalam membantu mengurangkan beban perbelanjaan bagi golongan kurang mampu.