BATU KAWAN - BN berpeluang untuk kembali merampas kerusi Parlimen Batu Kawan sekiranya terus bekerja keras pada PRU14.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat di Batu Kawan telah lama menderita di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dan mengharapkan angin perubahan yang akan berlaku pada PRU14.

“Penderitaan ini tuhan sahaja yang tahu dan saya telah beri tahu beberapa hari sebelum ini pada waktu inilah yang paling baik kita bawa angin perubahan di Pulau Pinang termasuk Batu Kawan.

“Namun bagi memastikan kemenangan, Kita perlu hadapi keadaan ini dengan melupakan permasalahan yang berlaku sebelum ini. Kita rapatkan barisan, kita perkukuhkan saf dan kita jaga kebajikan pengundi di Batu Kawan demi kemenangan BN pada PRU14 nanti,” katanya ketika berucap merasmikan Bangunan Umno Bahagian Batu Kawan, di sini tadi.

Dalam majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk Masjid Jamek Perai di sini dan RM1 juta untuk Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) Masjid Kampung Sekolah, Juru.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan kepada pemimpin BN di negeri ini agar terus fokus menjaga kebajikan dan membela rakyat.