SUNGAI PETANI – Menyedari kekurangan bekalan air bersih yang terhad di beberapa perkampungan masyarakat Kemboja, sebanyak 11 telaga dibina pasukan sukarelawan menerusi Rescue Cambodia 2, baru-baru ini.

Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah, Profesor Madya Dr Shaiful Annuar Khalid berkata, ia sebagai memenuhi tuntutan masyarakat di kawasan berkenaan di mana bekalan air merupakan sumber asas terpenting dalam kehidupan setiap insan.

Menurutnya, Kembara Ihsan Masyarakat Islam Kemboja 2018 yang  berlangsung selama lima hari bertujuan membantu umat Islam di Kemboja memenuhi keperluan asas , pendidikan dan pembelajaran agama setakat yang termampu.

“Misi anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Majlis Perwakilan Komander Kesatria dan Badan Kebajikan Amal Kemboja disertai seramai 22 delegasi terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan UiTM,” katanya.

Menurutnya, dana sebanyak RM13,000 berjaya dikumpul sebelum ditukar kepada bentuk barangan dan wang tunai.

“Masjid dan sekolah menjadi tumpuan delegasi membuat pengedaran barangan seperti kit kesihatan, ubat kutu, ubat cacing, muqaddam dan pakaian,” katanya.

Beliau berkata, kembara berkenaan melalui tiga kampung iaitu Kampung Bamnak, Loung Floting Village dan Kampung Khtir Tir di Wilayah Porsat.

Sementara itu, Pengiring Kembara, Dr Noreha Che Sidik berkata, Rescue Cambodia 2 mampu memberi pendedahan kepada peserta tentang perbezaan kehidupan harian selain mendalami rutin kaum minoriti  Islam di sana.

“Objektif yang kita nak capai ialah mampu menyelami bagaimana kehidupan mereka terutama perbezaan sosio budaya dan kepelbagaian keusahawanan yang ditunjukkan dalam setiap aktiviti dilakukan.

“Melaluinya ia bermanfaat untuk membentuk jati diri cekal dan berketrampilan, membentuk jiwa mahasiswa yang bersifat global dan bersedia berdepan cabaran terutama ketika menghadapi cabaran dan rintangan,” katanya.

Dalam masa sama, aktiviti berkenaan mampu menjalinkan hubungan antara dua hala, selari dengan visi dan misi menjadikan institusi pendidikan awam itu sebagai platform agar Malaysia dikenali di persada antarabangsa.