YAN- Sebahagian penerima rumah Taman Muafakat Dulang, yang merupakan mangsa hakisan pantai berhimpun di hadapan rumah berkenaan bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka atas kelewatan penyerahan kunci, semalam.

Wakil penduduk,  Ismail Zain, 49 berkata, pelbagai janji telah dilontarkan kepada penduduk namun sehingga hari ini ia masih belum diserahkan.

Katanya, dia dan penduduk lain agak kesal akan kepimpinan kerajaan baharu apabila isu rumah ini tidak dapat diselesaikan.

“Dulu masa BN memerintah bukan main lagi depa pertikaikan, kata BN lambat bagi rumah sedangkan dah siap, sekarang bila depa perintah awat depa tak bagi?,” soalnya.

Menurut Ismail, ramai penduduk tertipu dengan janji mereka sekiranya mereka menang PRU14 rumah akan diserahkan dengan kadar segera tetapi ternyata ia tidak ditunaikan.

Ismail berkata, ada dalam kalangan penerima sudah kehilangan tempat tinggal ekoran rumah mereka musnah secara keseluruhan.

Mangsa hakisan pantai, Md Radzi Shafie, 51, berkata dia kini terpaksa menumpang di rumah ibu mertuanya.

“Rumah saya asalnya kena hakisan pantai, boleh la duduk lagi tapi sejak dua menjak ni anai-anai duk kacau habis reput kayu rumah,” katanya.

Keadaan rumahnya yang sangat daif menyebabkan dia terpaksa berpindah bagi memastikan keselamatan ahli keluarga.

“Kalau saya dan keluarga terus duduk situ saya takut bila hujan dan angin kuat rumah akan roboh,” katanya.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Dulang, Harun Ahmad, 58 berkata, Menteri Besar (MB) Kedah kini iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan individu pertama yang dilantik secara dua kali sebagai MB.

“Beliau bukan baru tadbir Kedah, malah sebelum ni pun beliau adalah menteri besar dan keadaan penduduk kampung ini sudahpun diketahuinya.

“Namun kenapa masih dibiarkan keadaan kami sebegini, bantulah kami kerana rumah adalah pe

rkara asas yang amat diperlukan dalam kehidupan,” katanya.

Harun juga berharap senarai nama penerima yang dikeluarkan sebelum ini tidak ditarik semula.

“Kesian kalau ada nama yang digugurkan sebab masing-masing mengharap menerima rumah ini,” katanya.

Mengakui masalah sama, Nur Hidayah Abd Ghani, 31 berkata dia kini hanya menumpang di rumah mertua.

“Saya sangat memerlukan rumah berkenaan kerana anak-anak semakin membesar dan depa perlukan kediaman yang selesa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit berkata pihaknya telah memohon kerajaan baharu untuk mempercepatkan proses penyerahan kunci.

“Saya juga menggesa pihak berkaitan memudahkan penyerahan kunci tanpa bayaran yang membebankan,” katanya.

Difahamkan rumah berkenaan, mula dibina pada 2 September 2013 dan siap sepenuhnya pada 28 Februari 2015.

Rumah-rumah itu dibina khas untuk 42 mangsa hakisan pantai yang tinggal di persisiran Pantai Kampung Dulang.

Kos pembinaan rumah berkenaan ditanggung penuh oleh Yayasan Zainudin bagi membantu mangsa hakisan pantai yang terdiri daripada golongan asnaf.

Yayasan Zainudin telah membina 100 unit rumah di kawasan Dulang yang diberi nama Taman Aman Makmur ketika pemerintahan Pas  namun ditukar kepada Taman Muafakat Dulang ketika pentadbiran BN.