SEBERANG JAYA - Pemilihan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu dibuat secara demokrasi iaitu melalui Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.

Itu yang disuarakan Persatuan Bekas Ahli-ahli Majlis (PBAM) Seberang Perai supaya kerajaan Pakatan Harapan dapat melaksanakan sistem pilihan raya bagi memilih mereka yang berkelayakan bagi menerajui pentadbiran di PBT di negara ini.

Presidennya, Teoh Seang Hooi, berkata  penubuhan pemilihan kerajaan tempatan melalui pilihan raya itu akan meningkatkan lagi pendemokrasian kerajaan yang baharu dibentuk selepas kemenangan mengalahkan kerajaan terdahulu pada PRU 14 yang lalu.

Menurutnya,  beliau yang sebelum itu berada dalam barisan Ahli Majlis MPSP dengan memegang jawatan berkenaan selama enam tahun menyambut baik usaha Pakatan Harapan yang giat melaksanakan pelbagai reformasi institusi dalam masa kurang daripada 20 hari selepas PRU14.

“Kita melihat masa ini adalah tepat untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan untuk memastikan semua Ahli Majlis dipilih sendiri oleh rakyat dan bukannya dilantik oleh parti politik.

“Ia sekali gus membolehkan rakyat  memantau siapa dan bagaimana rakyat ditadbir di kawasan mereka dengan lebih dekat,” katanya.

Seang Hooi berkata, beliau berharap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang baharu dilantik dapat mempertimbangkan cadangan itu sebelum mengusulkan kepada kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan itu.

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan atau Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan pernah diadakan di Malaysia bagi memilih ahli jawatankuasa di peringkat daerah sekitar tahun 1964.

Proses pilihan raya itu dilihat penting apabila dapat mewujudkan persaingan sesama ahli majlis ke arah lebih baik sekali gus meningkatkan prestasi kerja.

Kerajaan tempatan adalah kerajaan paling rendah dalam sistem kerajaan di negara ini yang mana pentadbirannya dibarisi Datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis dan Ahli Majlis.

Tugas-tugas mereka antaranya berkuasa dalam kutipan cukai dan menggubal undang-undang kecil.