SIK- Seorang pekebun dari Felcra Bendang Man, di sini terlibas ular  sawa sepanjang enam meter hingga terputus ekor ketika menebas semak samun di kawasan kebunnya, siang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam ( APM) SIK, Kapten ( PA) Mohd Mukhrij Md Sabir berkata, kejadian jam 12 tengah hari itu hanya disedari selepas sesuatu didapati bergerak dari semak.

Menurutnya, selepas diperiksa, seekor ular sawa kekenyangan ditemui, dengan ekornya terputus dan pekebun itu segera melaporkannya kepada APM.

"Namun tidak dapat dipastikan ular berkenaan kenyang kerana berjaya menelan haiwan apa.

"Empat anggota APM bergegas ke tempat kejadian dan menangkap ular itu.

"Kita mengambil masa selama satu jam untuk mengeluarkan ular berkenaan," katanya.

Beliau berkata, ular sawa itu dilepaskan ke habitat asal dengan bantuan penduduk.