PADANG SERAI - Bagi mengatasi masalah banjir kilat di tujuh kawasan panas di sini sejak lebih 15 tahun lalu projek Rancangan Tebatan Banjir 2 (RTB2) Padang Serai perlu segera dilaksanakan.

Adun Lunas, Azman Nasruddin berkata projek tersebut akan melibatkan dua sungai iaitu Sungai Kulim dan Jarak yang mempunyai jarak sejauh 15 kilometer dan menjadi punca banjir kilat di kawasan Lunas ini.

Menurutnya, projek itu akan menyelesaikan masalah banjir melibatkan 500 kediaman termasuk Kampung Permatang Durian, Permatang Tok Dik, Paya Serdang, Sungai Seluang, Naga Lilit, Sungai Limau dan Seberang Paya.

“Masalah banjir kilat di kawasan ini seolah-olah tak ada penyelesaian, sudah berlarutan lebih 15 tahun lalu.

“Saya dulu sebagai Adun pembangkang juga telah bahas isu ini di Dewan Undangan Negeri, untuk selesaikan masalah ini RTB perlu dibina.

“Dianggarkan untuk keseluruhan projek RTB 2 dan RTB 1 di kawasan Padang Serai ini menelan kos RM50 juta, tapi dengan RTB sahaja isu banjir dapat diselesaikan untuk jangka panjang,” katanya kepada media.

Menurutnya, kerajaan perlu melaksanakan projek ini dalam tempoh lima tahun ini bagi membuktikan tahap keseriusan menangani isu rakyat.

“Saya akan berjumpa dengan pihak berkaitan, supaya memandang serius isu ini. Ada tindakan dibuat, kalaupun tak sepenuhnya ia boleh dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Azman yang juga Exco kerajaan itu juga berkata, bagi jangka masa pendek pihaknya memohon Jabatan Pengairan dan Saliran melakukan kerja-kerja pendalaman dan penyelenggaraan sungai.

“Bukan tak ada tindakan sebelum ini untuk selenggara, tapi tak serius. Saya minta JPS segera selenggara sungai-sungai untuk mengurangkan kejadian banjir kilat ini,” katanya.