SUNGAI PETANI - Mangsa kebakaran yang berdepan kerosakan rumah di Taman Sejati Indah dalam kejadian 10 Jun lalu menggesa pihak berkenaan mempercepatkan proses tuntutan insurans bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih disegerakan.

Zakaria Awang, 53, berkata, pihaknya kini  menunggu perkembangan seterusnya bagi membolehkan proses tuntutan berjalan lancar.

Menurutnya, setakat ini, tiada peralatan dan perkakasan rumah yang dialihkan dari lokasi asal biarpun telah banyak yang hangus.

“Bila proses cepat, cepat juga kami boleh baiki yang mana rosak, untuk raya ni memang tak dan dah, terpaksalah balik beraya di kampung,” katanya.

Nor Lidza Halim, 45, berkata, keluarganya masih menumpang di rumah penduduk lain yang memberi keizinan sejak hari pertama kejadian berlaku.

“Sampai sekarang kami masih menumpang lagi, tak tau la bila boleh baiki rumah ni, sekarang ni kami tak ubah apa-apa barang atau bersihkan dulu sebab nak tunggu depa mai periksa.

“Bila dapat insurans, baru boleh baiki. Tu pun ada orang nak tolong gotong-royong sahaja la kot,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Econsave Taman Patani Jaya, Saparin Abu Seman berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan barangan makanan, peralatan elektrik dan keperluan bayi bernilai RM1,000 yang diagihkan kepada mangsa kebakaran.

Menurutnya, kehadiran Syawal sedikit sebanyak diharapkan dapat mengubati kesedihan mangsa dengan sumbangan pemberian Econsave.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi Ahad lalu, empat rumah terjejas akibat kebakaran membabitkan 17 mangsa termasuk bayi berusia 25 hari.

Kesemua mangsa kini masih menumpang di salah sebuah rumah penduduk berdekatan yang memberi keizinan mereka bermalam.