GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan membelanjakan RM901.19 juta yang merangkumi belanjawan pembangunan negeri iaitu RM306.38 juta pada tahun hadapan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, dengan perbelanjaan itu, anggaran hasil yang akan diperolehi berjumlah RM505.50 juta dengan defisit sebanyak RM395.69 juta.

Menurutnya, defisit itu tidak hanya berpunca daripada perbelanjaan mengurus langsung berjumlah RM671.19 juta tetapi disebabkan oleh pindaan RM230 juta daripada Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri.

Tambahnya, ia untuk pembiayaan projek-projek pembangunan yang dirancang berjumlah RM306.38 juta.

"Anggaran defisit berjumlah RM395.69 juta akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri. Kerajaan negeri menganggarkan defisit RM667.11 juta pada 2017 tetapi telah mencatatkan lebihan RM51.16 juta pada akhir tahun kewangan.

"Dan seterusnya menyumbang kepada rizab terkumpul berjumlah RM1.09 bilion. kerajaan negeri terus positif dan berharap agar pencapaian yang sama akan terus berlaku pada tahun 2018 dan 2019," katanya.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Adun Padang Kota (DAP) membentangkan Ucapan Bajet 2019 Pulau Pinang di Sidang Dun tadi.

Menurutnya, cadangan bajet pembangunan negeri bagi 2019 iaitu RM306.38 juta merupakan penurunan sebanyak RM378.60 juta atau 55.27 peratus jika dibandingkan dengan jumlah belanjawan pembangunan sebanyak RM684.97 juta pada 2018.

"Penurunan melebihi 50 peratus ini antaranya disebabkan tiada kemudahan pinjaman disediakan oleh kerajaan negeri kepada Badan Berkanun Negeri bagi tahun 2019 berbanding RM350 juta yang disediakan pada 2018.

"Penurunan belanjawan pembangunan ini tidak akan menjejaskan projek pembangunan secara langsung yang telah dirancang dan komited oleh kerajaan negeri.

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang memberi impak positif kepada rakyat Pulau Pinang sentiasa diberi keutamaan dan dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Kon Yeow berkata, walaupun kerajaan negeri menjangkakan defisit bagi Belanjawan 2019, namun ianya tidak akan menjejaskan perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.

"Ia juga tidak menjejaskan semua komitmen pembiayaan bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan, bantuan-bantuan sosial rakyat, pemberian serta program-program Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang mana akan diteruskan seperti yang dijanjikan.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri akan memperhalusi semula program-program tertentu, bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan dan layak," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM 1.25 bilion dengan defisit RM748.5 juta berbanding RM667.1 juta defisit tahun 2016.

Ketua Menteri (pada ketika itu), Lim Guan Eng berkata, bajet defisit yang ketara ini bukan berpunca daripada Perbelanjaan Mengurus Langsung sebanyak RM652.30 juta tetapi disebabkan oleh pindahan RM600 juta Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Perbangunan untuk pembiayaan projek-projek pembangunan yang dirancang berjumlah RM684.97 juta.