SIK - Seramai 1.3 juta etnik Rohingya di kem pelarian di Bangladesh dan 400,000 orang lagi di Arakan, Myanmar memerlukan bantuan makanan untuk bersahur dan berbuka puasa.

Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Pas Relief, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pas Relief memerlukan bantuan orang ramai bagi mengagihkan makanan kepada pelarian di dua negara berkenaan.

“Pada Ogos, jumlah pelarian yang lari ke Bangladesh ialah seramai 800,000 orang. Seramai 70,000 lagi pelarian memasuki Bangladesh pada September.

“Operasi tentera turut disertai pelampau Buddha. Jumlah pelarian sedia ada di Bangladesh adalah 500,000 orang. Jumlah terkini ialah 1.3 juta orang pelarian,” katanya.

Katanya, bermula September tahun lalu, pelarian di Arakan dinafikan hak untuk menerima bantuan masyarakat antarabangsa.

“Hanya pada Ramadan ini, Myanmar membenarkan agensi luar masuk untuk memberikan bantuan. Maka Pas Relief berhasrat untuk mengirimkan makanan kepada Muslim Rohingya.

“Pas Relief bercadang menghantar dahulu wang kepada wakil di Myanmar dan Bangladesh pada Isnin akan datang,” katanya.

Beliau berkata, bekalan makanan di kem pelarian Bangladesh juga berkurangan selepas agensi bantuan luar memperlahankan bantuan.

“Bantuan luar sememangnya banyak tapi selepas Bangladesh dan Myanmar dikatakan bersetuju membuat penghantaran pulang pelarian, masyarakat antarabangsa beranggapan isu ini telah selesai.

“Sebenarnya tidak, pelarian pun tidak mahu balik kerana tiada sebarang jaminan. Jika pulang sekalipun ibarat untuk mati. Tiada kerakyatan diberikan, hak dirampas juga tidak dipulangkan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, umat Islam Malaysia yang merupakan negara paling hampir dengan Myanmar diharap dapat menunaikan tanggungjawab membantu saudara ditindas.

“Jika dapat sumbangkan makanan pun satu benda besar bagi mereka,” katanya.