SUNGAI PETANI - “Saya cepat-cepat sambut bekas air panas tu lepas terkejut dengar tangisan kuat anak, tapi masa itu air dah tumpah kena muka, badan, tangan dan kakinya.

Jelas Noraini Azizan, 25, tentang kejadian menimpa anak kedua mereka, Aisyah Humaira’, berusia 17 bulan, yang melecur 30 peratus selepas tersimbah air panas, dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi 2 Julai lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang mencuci di bahagian dapur dan tidak menyedari mangsa mendekati bekas air panas yang baharu mendidih sebelum menariknya dan terjatuh.

“Saya tak gamak nak tengok muka, badan, tangan dan kaki dia yang melecur,  tak sampai hati.

“Tapi nak buat macam-mana, benda dah berlaku, kami menerimanya dengan reda dan kini berdoa agar dia cepat sembuh,” katanya.

Noraini yang juga seorang suri rumah sentiasa menemani anaknya yang masih berada di Hospital Pulau Pinang selepas dikeluarkan dari Unit Rawatan Rapi tiga hari lalu.

“Alhamdulillah lega sangat tengok keadaannya cepat sembuh, luka makin kering dan baik,” katanya.

Kejadian 11 hari lalu yang berlaku di rumah mereka di Penanti, Pulau Pinang bagaimanapun tidak mampu dilupakan dan mengejutkan mereka apatah lagi tatkala umat Islam masih merayakan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, suaminya, Muhammad Farhan Suhaimi, 28, berkata, setakat ini, dia bersyukur dengan perkembangan terkini anaknya dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan.

Pekerja kilang itu berkata, Noraini yang akan memberikan perkembangan kesihatan anak mereka sementara dia di tempat kerja.

“Setakat ini doktor nak tengok dulu, kalau kulit dia makin pulih, kami harap-harap tak perlu buat pembedahan untuk ambil kulit lain tampal,” katanya.