GEORGETOWN - Hajat seorang pemuda untuk menamatkan zaman bujangnya Sabtu ini tidak kesampaian apabila terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya semalam.

Sheikh Mohd Adam Mohd Ishak, 20, maut apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan Jalan Lembah Permai, Tanjong Tokong tengah hari semalam.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, mangsa maut tempat kejadian akibat pendarahan teruk di kepalanya manakala tunangnya yang membonceng motosikal cedera ringan.

"Kemalangan itu berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu laju oleh seorang lelaki berusia 55 merempuh motosikal yang dinaiki mangsa.

"Akibat rempuhan kuat itu mangsa tercampak ke bahu jalan dan difahamkan pasangan berkenaan baru pulang dari makan bersama," katanya.

Sheikh Mohd Adam bakal melangsungkan perkahwinan dengan Nor Fazliana Mohd Ramli, 22, Sabtu ini.

Kedua-duanya yang bertugas sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) adalah dalam perjalanan ke sebuah sekolah untuk mengawal keadaan lalu lintas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.