GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang meluluskan bayaran bonus akhir tahun sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam di negeri ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika membentangkan Ucapan Bajet 2019 Pulau Pinang di Sidang Dun tadi.

Menurutnya, pemberian itu melibatkan 3,915 penjawat awam dengan pembayaran keseluruhan sebanyak RM5.23 juta.

"Pemberian ini bagi menghargai penjawat awam bagi 2018 yang banyak berjasa dengan kerajaan negeri. Pembayaran bonus ini akan dibuat pada Disember ini.

"Diharapkan dengan pemberian bonus ini, akan meningkatkan semangat penjawat awam untuk memberi perkhidmatan lebih cemerlang pada tahun akan datang," katanya.

Kon Yeow berkata, selain penjawat awam, 1,590 penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) juga mendapat imbuhan sebanyak RM300.

"Selain guru Kafa, 270 guru sekolah rendah agama rakyat, 182 guru sekolah menengah agama rakyat serta 572 guru dan staf sekolah persendirian Cina juga akan menerima RM300.

"Sementara itu, 240 guru tahfiz, guru pondok dan guru tadika Islam (Tadis) Pulau Pinang akan menerima RM200 iaitu melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM832 ribu. Mereka juga akan menerima pembayaran itu pada Disember ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan program i-Sejahtera yang telah dinikmati 1.6 juta rakyat di negeri ini sejak diperkenalkan pada 2008.

Kon Yeow berkata, sebanyak RM45 juta diperuntukkan untuk tujuan itu pada tahun hadapan.

Menurutnya, bagaimanapun, kerajaan negeri berpandangan bahawa kajian semula program tersebut wajar dilaksanakan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak dan memerlukan.

"Program tersebut merangkumi pemberian bantuan warga emas; ibu emas; anak emas, orang kelainan upaya (OKU) dan pelajar emas. Sehingga Oktober tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM30.85 juta dengan 955 penerima aktif.

"Mereka ini telah menerima manfaat daripada program Agenda Ekonomi Saksama (AES). Bantuan ini selaras dengan keputusan Pusat dalam mengurangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat," katanya.