ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menyarankan supaya Kementerian Kewangan memberi pelepasan cukai jualan dan perkhidmatan ( SST) pada bahan bacaan ilmiah berbanding dengan tiket wayang dan taman tema.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata bahan bacaan berkaitan dengan akademik melibatkan isu pendidikan seharusnya diberikan keutamaan sewajarnya untuk melahirkan lebih ramai masyarakat berpengetahuan tinggi.

“SST perlu dikecualikan ke atas bahan bacaan sebagai galakan kepada masyarakat dan juga ia adalah satu keperluan sangat penting kepada masyarakat pada masa kini terutamanya bahan bacaan digital.

“Tetapi malangnya, saya melihat kerajaan mengenakan cukai ke atas bahan bacaan ini semenjak zaman perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lagi dan kini pula dengan cukai SST.

“Saya berharap pihak Kementerian Kewangan akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada hal-hal sedemikian,”katanya demikian, ketika sesi Sinar Live bersama Cake, di pejabatnya, semalam.

Menurutnya lagi, pengecualian kepada tiket wayang dan taman tema bukanlah satu keperluan atau kemestian kepada pengguna, pada ketika ini.

“Cake berpandangan tiket wayang dan taman tema lebih bersifat hiburan dan bukannya bersifat keperluan asas yang perlu dipenuhi,” katanya.

Sebelum itu, Yusrizal berkata Cake menyambut baik dua rang undang-undang berkaitan SST di Parlimen pada 20 Ogos lalu, bagi membolehkan sistem percukaian itu diperkenalkan semenjak 1 September lalu.

“Sepanjang tempoh perlaksanaan GST, Cake dapati cukai itu tidak sesuai dilaksanakan di negara ini walaupun ia adalah satu cukai yang telus yang dikenakan terus kepada pemborong, peruncit dan peniaga dan seterusnya kepada pengguna di mana peralihan dapat dituntut semula.

“Namun, pengguna terbeban dengan perlaksanaan GST dan pengguna sendiri dilihat bangkit menentang perlaksanan GST. Malah, selepas SST kembali dikuatkuasa, Cake mendapati rata-rata pengguna memberi respon yang agak positif,” katanya.