ALOR SETAR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) merampas 123kg daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM11,000 berhampiran batu sempadan 34, dekat Bukit Kayu Hitam petang tadi.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, daun ketum itu dirampas di sebuah bangsal ketika pasukan keselamatan tersebut membuat rondaan bermotosikal kira-kira 1 petang.

"Kumpulan ronda diketuai Mejar Mohammad Redzuan Jaffar ternampak sebuah bangsal yang mencurigakan ketika sedang melakukan rondaan bermotosikal.

"Ketika menghampiri bangsal itu, pasukan tersebut melihat dua orang awam sedang memasukkan bungkusan hitam ke dalam guni putih sebelum melarikan diri ke dalam hutan apabila menyedari tindakan mereka disedari pasukan keselamatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui satu guni putih dan empat plastik hitam berisi daun ketum yang diikat rapi dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran.

Kesemua daun ketum dirampas itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut, katanya. - Bernama