BAYAN LEPAS - Seorang anggota Rela cedera di mata, muka dan tangan kiri selepas terkena tembakan dari senapang patah miliknya di Jalan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, mangsa yang juga pemandu di Klinik Kesihatan Telok Bahang kini dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa berusia 51 tahun itu mempunyai lesen memegang senapang patah (shotgun) yang sah.

Anbalagan berkata, kejadian berlaku di tepi jalan tersebut ketika mangsa yang sudah menjadi anggota Rela daerah Barat Daya sejak 2000 itu baru selesai menembak tupai di kebun berdekatan.

"Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.15 malam tadi. Ketika kejadian, terdapat dua saksi terdengar bunyi tembakan dan ternampak seorang lelaki terbaring mengalami kecederaan.

"Hasil siasatan awal dipercayai, mangsa baru selesai menembak binatang (tupai) di kebun. Semasa dia pulang, difahamkan senapang yang tidak dikosongkan peluru tabur 12 bore itu terjatuh dan terkena tali senapang pada trigger hingga menyebabkan tembakan dilepaskan lalu terkena mangsa," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, sepucuk senapang patah milik mangsa dirampas untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjatapi 1960 dan 338 Kanun Keseksaan kerana cuai melepaskan tembakan di tempat awam sehingga membahayakan nyawa," katanya.