ALOR SETAR - Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bersatu akan diadakan bulan depan untuk meminda perkara dalam perlembagaan parti itu, bagi membolehkan kesemua ahli parti yang berdaftar memilih kepimpinan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, seramai 140,000 ahli yang berdaftar sebelum 30 April 2018 layak mengundi pada pemilihan parti itu yang dijangka diadakan tahun ini.

Menurutnya, pindaan itu perlu diluluskan terlebih dahulu sebelum tarikh pemilihan diumumkan.

“Mengikut perlembagaan sedia ada, sistem pemilihan adalah melalui perwakilan. Kita berhasrat mahu lakukan lebih baik dan mengubah kaedah pemilihan, di mana undian dibuat di peringkat bahagian, iaitu setiap ahli satu undi, bermakna setiap ahli berhak mengundi,” katanya.

Mukhriz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan Perlembagaan Parti berkata, perlembagaan parti hendaklah dipinda menerusi AGM untuk mendapatkan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Kita akan guna pakai perlembagaan yang dipinda dalam pemilihan ini, yang disifatkan perkembangan yang positif dalam parti bahawa amalan demokrasi masih subur dalam Bersatu, kita beri hak memilih kepimpinan parti kepada semua ahli,” katanya.

Menurutnya, tarikh pemilihan akan ditetapkan kemudian, setelah mesyuarat cawangan yang sedang ditubuhkan menerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM), sayap serta bahagian selesai diadakan.

“Saya dapati, selepas PRU14, berlaku peningkatan jumlah ahli yang mendadak, namun mereka belum boleh mengundi pada pemilihan ini. Kaedah pengundian juga sedang dirangka meliputi peraturan mesyuarat pemilihan,” katanya.

Tambahnya, semua jawatan terbuka untuk dipertandingkan.

Pada sidang media itu, Mukhriz turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Syed Hamid Syed Albar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berkuatkuasa sejak 10 Ogos lalu, manakala Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu.