GEORGETOWN - Seramai 79 mangsa dari 19 keluarga di Jalan Sungai Baung, Kampung Sungai Baung, Nibong Tebal dipindahkan ke pusat perpindahan Dewan Serbaguna Jawi, Seberang Perai Selatan (SPS) selepas rumah mereka dilanda banjir kilat.

Jurucakap bomba berkata, sehingga jam 3 pagi semalam, 54 dewasa dan 25 kanak-kanak dipindahkan ke pusat perpindahan itu selepas air naik sejak petang semalam.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 5.22 petang dan tiba di tempat kejadian 25 minit kemudian bagi memberikan bantuan.

 

Banjir kilat yang melanda petang semalam menjejaskan 19 keluarga di Jalan Sungai Baung, Kampung Sungai Baung.

 

"Seramai 31 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap yang dibantu balai bomba terdekat termasuk Nibong Tebal, Sungai Puyu dan Sungai Jawi dikejarkan ke tempat kejadian dengan menaiki 10 bot.

"Ketika tiba di tempat kejadian, didapati berlaku banjir yang berpunca dari limpahan air sungai. Paras air mencecah 1.2 meter, menyebabkan jalan raya yang menghubungkan Kampung Sungai Baung ke Relau, Kedah telah terputus.

"Antara kampung terlibat adalah Kampung Wellesley, Kampung Lima dan Kampung Sethu," katanya kepada pemberita ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, keadaan banjir di ketiga-tiga kampung tersebut semakin surut dan jalan raya yang terputus hubungan pada sebelah petang semalam kini boleh dilalui kenderaan.

"Pemantauan akan terus dilakukan di sekitar kawasan banjir tersebut untuk memastikan keadaan selamat.

"Kesemua mangsa kini ditempatkan di penempatan sementara itu dan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menyokong penuh cadangan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) supaya kerajaan mewujudkan Institusi Rukun Negara bagi membina jati diri generasi muda.
  • KUALA TERENGGANU - Skuad futsal Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu akan menguji prestasi dan kekuatan sebenar pasukan pada saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018 yang bakal membuka tirainya di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam Sabtu ini.
  • KOTA BHARU - Dua sahabat dihukum penjara lapan tahun dan tiga sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini, hari ini, atas kesalahan merompak warga Bangladesh dengan menggunakan pisau, awal bulan ini.
  • KUALA LUMPUR - Gerakan jentera parti secara terancang diyakini mampu mengubah nasib sesetengah parlimen yang dilabel tiada peluang untuk menang.
  • BUKIT MERTAJAM - Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Bukit Mertajam atas tuduhan menyebabkan kematian anaknya pada 15 Februari lalu.