POKOK SENA - Seramai 50 penduduk daripada 10 keluarga di dua kampung di sini terjejas banjir kilat berikutan hujan lebat lebih tiga jam malam tadi.

Hujan lebat yang bermula 7.30 malam itu menyebabkan Kampung Kolon dan Kampung Macang Kudung di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada ditenggelami air kira-kira dua meter.

Bagaimanapun menurut Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin kejadian itu tidak melibatkan perpindahan penduduk kerana air mulai surut pada 11 malam.

Seorang penduduk Kampung Kolon, Khairi Darus, 43, berkata kejadian itu menyebabkan reban itik yang menampung 150 ekor itik telurnya turut dimasuki air.

Katanya lebih 10 ekor itiknya hilang dibawa arus sehingga mengalami kerugian lebih RM300.

"Air cukup deras hingga pagar itik saya roboh dibawa arus. Bukan sahaja 10 ekor itik hilang, malah lebih 50 biji telur itik turut hilang dibawa arus deras,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Halimah Ahmad, 75, berkata dia terpaksa membersihkan rumah yang dimasuki lumpur dan sampah sarap kesan daripada banjir.

“Saya tak larat  nak basuh, tetapi terpaksa buat juga malam tadi kerana tidak mahu lumpur melekat lebih teruk dan menyusahkan saya untuk mencuci hari ini,” katanya.

Bagi Yacob Ibrahim, 89, dari Kampung  Macang Kudung, dia terpaska meminta pertolongan anak-anak jirannya untuk membersihkan rumahnya yang dimasuki lumpur dan sampah-sarap.

Ketika kejadian, dia yang tinggal bersama isterinya, Salepah Musa, 86, hanya mampu mengalihkan perkakasan elektrik yang ringan dan tidak dapat mengangkut barangan perabot lain untuk dialihkan ke kawasan lebih tinggi.

“Almari baju dan rak pinggan mangkuk serta tikar saya rosak terkena air,” katanya. - Bernama
 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA - "Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemantauan 24 jam di semua lokasi berisiko banjir berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang," kata Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.
  • SUNGAI PETANI - Seramai 29 mangsa di tujuh kampung di sekitar Kuala Muda terjejas akibat banjir kilat yang melanda susulan fenomena air pasang, di sini.
  • PONTIAN - Keadaan kawasan pesisir pantai di daerah ini masih terkawal meskipun berlaku limpahan air laut disebabkan fenomena air pasang besar berserta ribut di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak, malam tadi.
  • GEORGETOWN - Sebanyak 34 keluarga melibatkan 108 orang di Teluk Kumbar, Balik Pulau dipindahkan ke pusat pemindahan apabila rumah mereka dinaiki air selepas hujan berterusan sejak awal pagi tadi.
  • KANGAR - Hujan lebat yang turun di negeri ini sejak awal pagi menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air, bagaimanapun sehingga tengah hari belum ada sebarang pemindahan mangsa banjir.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.