BALING - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyampaikan Bantuan Pemulihan Bencana Kerajaan Negeri kepada 34 keluarga mangsa ribut, baru-baru ini.

Pegawainya, Shamsul Izrin Isahak berkata, mangsa menerima bantuan bernilai RM300 hingga RM2,000 bergantung kepada kerosakan.

Menurutnya, jumlah keseluruhan bantuan diagihkan ialah sebanyak RM27,391.

“Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban setiap mangsa ditimpa musibah ribut," katanya

Beliau berkata, dengan peralihan kuasa ketika ini, penduduk ditimpa musibah selepas ini diminta terus melaporkan kepada JKM.

“Mereka juga diminta buat laporan polis secara individu dan memaklumkan kepada penghulu,” katanya

Shamsul berkata, penduduk juga dinasihati sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca tidak menentu.

“JKM dengan bantuan Pejabat Daerah dan Tanah Baling, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling akan sentiasa memantau keadaan.

“Penduduk juga dinasihati menyimpan dokumen penting di tempat tinggi dan selamat supaya dapat diselamatkan sekiranya berlaku banjir,” katanya.

Sebelum ini, sebanyak 10 kampung dilanda ribut pada awal Mac lalu.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Seberang Pekan, Kampung Belakang Sekolah, Kampung Charuk Bemban, Kampung Charuk Sikin, Kampung Guar Tinggi, Kampung Kubur Panjang, Kampung Guar Reban dan Kampung Seberang Ketil.