KULIM - Sebanyak 300 pokok tekoma ditanam bagi menghiasi kawasan Taman Tasik Putra dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke situ.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Saiful Anwar Azmi berkata, pokok berkenaan mempunyai bunga yang cantik dan memukau pandangan sesiapa sahaja.

Menurutnya, sebanyak 300 anak pokok ditanam di kawasan ini yang akan menghiasi lokasi tumpuan orang ramai.

"Kita harap dengan langkah menanam kira-kira 300 pokok ini, kawasan ini akan jadi lebih menarik.

"Ini juga usaha kita untuk mencantikkan kawasan Taman Tasik Putra Kulim ini yang sesuai untuk pelbagai aktiviti riadah," katanya.

Selain itu, Saiful berkata, aktiviti menanam pokok tekoma ini mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah.

"Seramai 500 peserta terlibat dalam aktiviti ini.

"Aktiviti bukan hanya untuk mengindahkan kawasan ini semata-mata tetapi untuk meningkatkan kesedaran peserta menjaga kebersihan persekitaran dan minat menanam pokok," katanya.