ALOR SETAR - Rohingya Society Malaysia (RSM) cawangan Kedah merayu kepada kerajaan baharu agar membantu lebih 3,000 pelarian etnik itu yang belum memegang kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian  (UNHCR).

Pengerusi RSM Kedah, Yusof Ali berkata, keadaan itu menyebabkan mereka hidup dalam ketakutan dan kedaifan berikutan tidak boleh bekerja.

Katanya, di Kedah sekarang terdapat kira-kira 9,000 pelarian Rohingya dan lebih 3,000 daripada jumlah itu tidak mempunyai kad UNHCR.

“Ini menyebabkan mereka tidak berani keluar ke mana-mana dan bersembunyi termasuklah tidak boleh mencari kerja.

“Akhirnya mereka kini terpaksa hidup atas ihsan rakan-rakan dengan meminta makanan ataupun duit untuk membeli barang keperluan harian,” katanya ketika ditemui di Pejabat RSM Kedah.     

Yusof berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu supaya kad berkenaan dapat dikeluarkan kepada 3,000 etnik itu yang berusia di antara 12 hingga 40 tahun.

“Kami menghormati undang-undang kerajaan Malaysia menahan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang gagal menunjukkan sebarang dokumen. Selalunya mereka akan di penjara beberapa bulan dan ada yang kemudiannya dihantar ke depot tahanan Imigresen Belantik, Sik.

“Namun bagi kami sebagai pelarian, adakah akan kekal di dalam depot tahanan itu ataupun akan dihantar kembali ke Mynmar  yang  semestinya maut akan menunggu. Jadi saya rayu  kerajaan baharu membantu nasib kami,” katanya.