GEORGETOWN - Sebanyak 2,317 kes jenayah melibatkan belia di Pulau Pinang dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 15 Oktober tahun ini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, daripada jumlah tersebut, 829 merupakan jenayah kekerasan manakala 1,488 melibatkan jenayah harta benda.

Menurutnya, bagi jenayah kekerasan, samun berkawan tanpa senjata api dilaporkan paling tinggi iaitu 338 kes, diikuti jenayah mencederakan dengan 333 kes.

"Bagi jenayah harta benda, kes curi motosikal dilaporkan paling tinggi dengan 551 kes manakala kes curi, dilaporkan 483 kes.

"Pecah rumah juga antara kes tertinggi dengan 307 kes dan diikuti kes curi kereta, iaitu 126 kes," katanya.

Lip Chee berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adun Air Itam (DAP), Joseph Ng Soon Siang berhubung statistik golongan belia yang terlibat dengan jenayah selain kategori jenayah paling kerap yang dilakukan golongan tersebut.