SUNGAI PETANI - Lapan belas warga asing termasuk 17 wanita dan seorang lelaki berperwatakan wanita, yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Taman Tuanku Haminah dekat sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, serbuan pada 12.30 tengah malam itu yang dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda selepas melakukan risikan sejak beberapa minggu lalu.

"Seramai 18 mangsa, berusia lingkungan 20-an hingga 30-an, iaitu 10 warga asing dari Thailand, enam dari Laos, dan dua dari Vietnam, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi bagi tujuan persundalan, telah diselamatkan.

"Polis turut menahan empat lelaki berumur lingkungan 30-an, disyaki bekerja sebagai penjaga premis hiburan terbabit dan mereka direman selama enam hari bermula semalam (18 Nov) bagi membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas peralatan yang digunakan dalam pusat hiburan terbabit serta beberapa buah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk membawa pekerja asing terbabit ke premis hiburan berkenaan.

"Premis terbabit dipercayai menjadikan warga asing sebagai pelayan pelanggan malah lesen hiburan juga gagal dikemukakan sewaktu serbuan dijalankan," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SIBU - Polis Sibu menahan seorang pengurus rumah urut di Jalan Ramin di sini kerana disyaki terlibat dalam kes pemerdagangan orang melibatkan empat wanita warganegara Filipina.
  • KUALA KANGSAR - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membenarkan seorang pengurus ladang yang dituduh atas 15 pertuduhan memperdagangkan 15 individu termasuk dua remaja sebagai exploitasi buruh paksa, April lalu diikat jamin sejumlah RM90,000.
  • IPOH - Seramai 18 individu warga tempatan termasuk lima kanak-kanak dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia diselamatkan dalam operasi di daerah Kecil Kroh, Belukar Semang, Kampung Tasek di Pengkalan Hulu dekat Gerik kira-kira 170 kilometer dari sini, awal pagi tadi.
  • IPOH - Seorang tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, tadi atas tujuh pertuduhan memperdagangkan enam wanita dan seorang lelaki warga asing bagi tujuan eksploitasi seks antara Disember 2015 sehingga Ogos tahun ini.