PERAI - Sebanyak 12 pasukan bawah 8 tahun akan berentap untuk merebut Kejuaraan Kejohanan Bolasepak Jemputan Piala Sinar Harian 2018 di Padang Sony, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 31 Mac depan.

Ketua Cawangan Negeri Sinar Harian Edisi Utara/Perak, Sharul Afindi Samad berkata, penganjuran kali pertama kejohanan 7 sebelah tersebut oleh akhbar komuniti ini adalah bertujuan untuk mendekati masyarakat setempat.

Menurutnya, walaupun diadakan di Pulau Pinang namun pasukan dari Perlis, Kedah dan Perak turut menyertai kejohanan tersebut.

“Akhbar Sinar Harian adalah sebuah akhbar komuniti dan kami sentiasa memahami bahawa bola sepak cukup dekat di hati masyarakat.

"Kami juga hadir untuk membantu menyediakan platform buat pasukan-pasukan di peringkat akar umbi selain mencungkil bakat baharu dari pasukan yang bertanding pada kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar.

Menurutnya, juara akan membawa hadiah wang tunai RM400, naib juara RM300, tempat ketiga RM200 dan keempat RM100.

Sementara itu, Penyelaras Program, Jamallul Azizi Jamaludin berkata, 12 pasukan tersebut akan diundi dalam dua kumpulan pada 24 Mac ini di Pejabat Sinar Harian edisi Utara/Perak di Perai, Pulau Pinang.

“Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir dan seterusnya akan ke peringkat akhir untuk penentuan juara pada tahun ini,” katanya.