GEORGETOWN -  Sebanyak 34 keluarga melibatkan 108 orang di Teluk Kumbar, Balik Pulau dipindahkan ke pusat pemindahan apabila rumah mereka dinaiki air selepas hujan berterusan sejak awal pagi tadi.

Exco Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh berkata, kesemua mangsa ditempatkan di Dewan Masyarakat Teluk Kumbar yang dibuka pada jam 9 pagi tadi.

Menurutnya, keadaan di kawasan terlibat terkawal namun pemindahan itu sebagai langkah persediaan untuk menghadapi air laut pasang dan hujan berterusan.

"Memandangkan ramalan meteorologi menyatakan hujan akan berterusan dan air laut akan pasang kemuncak pada jam 12 tengah hari ini, maka pusat pemindahan di Dewan Masyarakat Teluk Kumbar dibuka sebagai langkah persediaan.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, 108 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan tersebut," katanya.

Pagi tadi dilaporkan, beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air berikutan hujan tidak berhenti sejak 4 pagi.

Mangsa terjejas ditempatkan di Dewan Masyarakat Teluk Kumbar.

Sehingga kini, kira-kira 20 kawasan dinaiki air yang mana kebanyakkannya di sebelah Seberang Perai antaranya Kampung Baru Sungai Bakap; Kampung Sethu, Lorong Janggus dan Taman Sukun.

Bagaimanapun, dilaporkan, paras air antara lingkungan 80 hingga 600 milimeter.

Sementara itu, paras air di Sungai Pinang kini melebihi paras bahaya dengan bacaan melebihi 2.9 meter berikutan hujan sejak awal pagi tadi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERSING - Tiga kawasan di Jalan Jemaluang-Tenggaroh yang dinaiki air sejak pagi tadi kembali pulih kira-kira jam 2.30 petang tadi.
  • MERSING - Tiga kawasan di Jalan Jemaluang-Tenggaroh dinaiki air sejak pagi tadi namun masih boleh dilalui kenderaan ringan.
  • KUCHING - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa banjir yang terakhir di Dewan Suarah Mukah di bahagian tengah Sarawak ditutup pada 12.30 tengah hari ini ekoran keadaan cuaca yang baik sejak beberapa hari lepas, walaupun ada beberapa kawasan rendah dalam negeri yang masih digenangi air.
  • KUCHING - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak terus berkurangan dengan ketara apabila jumlahnya hingga tengah hari ini berkurangan sekitar 536 orang berbanding 1,012 malam semalam.
  • KUCHING - Banjir di Sarawak kian beransur pulih setakat pukul 8 malam ini apabila mangsa banjir menurun kepada 3,173 mangsa daripada 991 keluarga yang masih berada di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam bahagian.