ALOR SETAR - Seramai 10 Exco Kedah dijadualkan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, di sini, Selasa depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sudah memiliki senarai nama untuk mengisi portfolio berkaitan.

Menurut beliau, kuota Exco berkenaan dibahagikan mengikut parti komponen dalam Pakatan Harapan (Harapan).

"Daripada 10 porfolio, empat daripadanya diberikan kepada PKR, diikuti Amanah (3), Bersatu (2) dan DAP (1).

"Manakala, speaker pula dipilih dari PKR, sementara timbalan speaker pula dari Bersatu," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa anjuran Harapan Kubang Pasu di Institut Pengurusan dan Integriti Negeri (INSPIN), di sini, tadi.

Mukhriz berkata, calon Exco dipilih akan mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk diperkenalkan pada Isnin ini.

"Pada Selasa, kita jangkakan istiadat mengangkat sumpah Exco akan berlangsung di Istana Anak Bukit manakala, mesyuarat Exco pada keesokannya," katanya.