ALOR SETAR - Seramai 10 Adun Kedah mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana Anak Bukit, hari ini.

Majlis istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan berlangsung di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin  Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Zaheeda Mohamad Ariff.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Exco yang mengangkat sumpah jawatan adalah empat Adun PKR, tiga dari Amanah, dua wakil Bersatu dan seorang Adun DAP.

Adun Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah mendahului senarai mengangkat sumpah jawatan, diikuti Adun Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh dan Adun Derga, Tan Kok Yew.

Ia diikuti Adun Kota Siputeh, Dr Salmee Said; Adun Suka Menanti, Ir Zamri Yusuf dan Adun Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris.

Turut dilantik, Azman Nasrudin (Adun Lunas), Ooi Tze Min (Bakar Arang), Summugam a/l Rengasamy (Adun Bukit Selambau) serta Halimaton Shaadiah Saad (Adun Bukit Kayu Hitam).

Lapan Exco yang dilantik merupakan muka baharu, manakala Amiruddin dan Ismail pernah menjawat jawatan sama ketika Pakatan Rakyat memerintah Kedah pada 2008.

PKR diberikan lebih kuota Exco berikutan parti itu paling banyak memenangi kerusi Dun pada PRU14, iaitu tujuh kerusi, diikuti Bersatu (lima), Amanah (4) dan DAP (2).

Barisan Exco Kedah:

1. Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (MB) (Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri)

2. Datuk Amiruddin Hamzah (Kewangan, Syarikat Milik Kerajaan Negeri, Industri dan Pelaburan, Agama)

3. Datuk Dr. Ismail Salleh (Penerangan, Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar)

4. Tan Kok Yew (Pelancongan, Kerajaan Tempatan, Perumahan)

5. Ir. Zamri Yusuf (Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga)

6. Azman Nasrudin (Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan, Pembangunan Insan)

7. Mohd Asmirul Anuar Aris (Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Pembangunan Usahawan, Badan-badan Bukan Kerajaan)

8.Ooi Tze Min (Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Alam Sekitar)

9. Dr Salmee Said (Pendidikan, Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Perdagangan Dalam Negeri) 

10. Summugam A/L Rengasamy (Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi)

11. Halimaton Shaadiah Saad (Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan)