• Unit Pemusnah Bom sedang melakukan siasatan dan bersedia memusnahkan bom kedua pada jam 12.05 tengah hari. Unit Pemusnah Bom sedang melakukan siasatan dan bersedia memusnahkan bom kedua pada jam 12.05 tengah hari.
  • Dua butir bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ditemui dua pekerja kontrak di Ipoh Cargo Terminal, semalam. Dua butir bom dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ditemui dua pekerja kontrak di Ipoh Cargo Terminal, semalam.
1 /

IPOH – Kejutan besar menyelubungi dua pekerja kontrak apabila dimaklumkan dua bongkah besi buruk yang dicampak ke dalam lori sebenarnya dua biji bom lama yang dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua, semalam.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua pekerja berkenaan melakukan kerja-kerja menaik taraf Ipoh Cargo Terminal Sdn Bhd di Jalan St John, di sini dan nyaris menyebabkan nyawa mereka melayan apabila salah seorang terpijak bom berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ipoh Cargo Terminal, Sabtiah Abu Kassim berkata, dia dimaklumkan oleh dua pekerja berkenaan berhubung kejadian.

"Kerja-kerja mengorek tanah dilakukan pada jam 9 pagi dan saya dimaklumkan, salah seorang pekerja telah terpijak bongkah yang disangka besi buruk dan mencampakkannya masuk ke dalam lori.

"Pemandu jengkaut yang mempunyai pengalaman menemui bom di kawasan sama telah menyedari bongkah besi itu adalah dua biji bom terus memaklumkan saya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kejadian terus dilaporkan kepada polis yang kemudiannya datang dan mengesahkan dua bongkah besi berkenaan adalah bom lama.

Tambahnya, pada tahun 2000, sebiji bom berukuran lebih besar pernah ditemui di kawasan sama dan pengalaman berkenaan membolehkan pemandu jengkaut berkenaan mengenal pasti dua biji bom yang baru dijumpai.

"Dengan penemuan dua biji bom itu, kami nasihatkan pekerja-pekerja kontrak untuk lebih berhati-hati ketika menjalankan kerja naik taraf.

"Saya percaya lokasi ini pernah menjadi lokasi tentera Jepun sebelum terminal dibina pada November 1989," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam berkata, Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah dihantar ke lokasi berkenaan bagi memusnahkan bom yang dijumpai.

"Kedua-dua bom berkenaan berjaya dimusnahkan pada jam 11.30 pagi dan 12.05 tengah hari. Bom berukuran 0.3 meter itu diletupkan oleh unit khas bagi memastikan keselamatan pekerja," katanya.