KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri akan memperhebatkan lagi kempen kesedaran mengenai bahaya merokok dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Pengarahnya, Dr Mohamad Omar berkata, walaupun sebelum ini penguatkuasaan telah dijalankan, ia akan diperhebat memandangkan kawasan larangan merokok kini diperluas melalui pewartaan baharu Kementerian Kesihatan bermula 1 Februari lalu.

“Akta mengenai larangan merokok di tempat awam ni dah lama, Cuma kawasan larangan merokok itu telah diperluas dan terkini di Taman Negara.

“Jadi, sebagai usaha menjayakan larangan ini, kita akan memperhebatkan kempen kesedaran dan pendidikan mengenai bahaya merokok dalam kalangan masyarakat sebelum menjalankan penguatkuasaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan juga akan minta kawasan larangan merokok di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pejabat daerah menaikkan papan tanda atau notis larangan merokok di kawasan terlibat.

“Kita akan minta pihak berkenaan menaikkan papan tanda mengenai larangan merokok. Kita akan hebahkan dahulu mengenai zon larangan merokok seperti di kawasan lapangan terbang, pejabat kerajaan, dan lain-lain kawasan terlibat.

“Kita tak akan terus ambil tindakan kepada mereka yang ingkar, sehingga kita rasa masyarakat dah tahu dan dapat maklumat mengenai perkara itu, baharulah kita akan buat penguatkuasaan,” katanya.

Ditanya sekiranya orang ramai ingin membuat aduan jika masih terdapat mereka yang melanggar undang-undang itu, katanya, aduan boleh dibuat di pejabat kesihatan daerah masing-masing.

“Sebelum ini pun kita dah buat penguatkuasaan seperti rondaan daripada masa ke semasa, Cuma tak dapat buat lebih kerap atau menyeluruh disebabkan kekurangan kakitangan.

“Selain rondaan, kita juga ada laksanakan inisiatif lain seperti menyediakan Klinik Berhenti Merokok bagi perokok tegar,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan melalui akaun facebook rasminya memaklumkan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) Pindaan 2017, Taman-Taman Awam di seluruh Malaysia, Taman Negara yang telah diwartakan di bawah Akta Taman Negara 1980 [Akta 226], Enakmen Taman Negara Kelantan, Enakmen Taman Negara Pahang atau Enakmen Taman Negara Terengganu serta Taman-Taman Negeri sebagai tempat dilarang merokok.

Penambahan kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11 dan pemansuhan Peraturan 21 PPKHT 2004 bertujuan untuk melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok atau lain-lain produk merokok.

Selain itu, perluasan kawasan-kawasan dan tempat-tempat dilarang merokok bertujuan untuk mengekang aktiviti merokok di tempat awam supaya budaya ini tidak diterima masyarakat.

Bagi mereka yang melakukan kesalahan ini akan didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - Umno diminta supaya tidak memperbesarkan isu perarakan sambutan Maulidur Rasul di Pulau Pinang kerana tiada apa yang perlu diperkatakan.