KUALA NERUS - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) akan melaksanakan aktiviti jahitan dalam skala yang lebih besar khusus untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan ibu tunggal.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kebanyakan persatuan ibu tunggal di daerah-daerah sememangnya menjadikan bidang jahitan sebagai aktiviti ekonomi mereka.

"Kita dapat lihat bidang jahitan ini sememangnya sinonim dengan golongan wanita terutamanya ibu tunggal.

"Jadi saya minta YPK untuk laksana program jahitan dalam skala yang lebih besar iaitu dibuat dalam bentuk kilang yang boleh sediakan pakaian berjenama di bawah Ibu Tunggal Terengganu.

"Program yang akan dikendalikan di peringkat negeri ini kemudian akan membahagikan tugas menjahit kepada persatuan ibu tunggal di daerah-daerah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bangunan Ibu Tunggal Parlimen Kuala Nerus, Bukit Tunggal, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah YPK Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa.

Menurut Ahmad Razif lagi, bidang jahitan sememangnya mempunyai permintaan yang tinggi dan peluang itu seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh golongan ibu tunggal.

Sementara itu, Bangunan Ibu Tunggal Parlimen Kuala Nerus bernilai lebih RM250, 000 yang siap pada tahun 2013 itu menjadi pusat aktiviti dan ekonomi bagi 3,658 ibu tunggal di seluruh daerah tersebut.