KUALA TERENGGANU - Kecekalan seorang gadis kurang upaya yang mengusahakan kuih bakul dan kuih bulan sehingga menjadi inspirasi kepada orang lain, melayakkannya menerima anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya (Wanita) sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu, hari ini.

Haziqah Nurulhuda Harun, 22, dari Kampung Bukit Kuang, Kemaman sebelum ini tular dengan kisah kejayaannya yang bangkit membangunkan perniagaan sendiri iaitu Sedeh Sokmo MMDT Enterprise, setelah lumpuh daripada paras pinggang ke bawah selepas mengalami demam panas sejak 2012.

Dia yang mesra dipanggil Yaya berkata, anugerah itu diharap akan menjadi inspirasi kepada golongan yang senasib dengannya agar tidak berputus asa.

“Saya mengharapkan lebih ramai orang kurang upaya seperti saya mencabar diri sendiri agar menjadi lebih baik dan berjaya. Jangan jadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk kita meneruskan hidup dan maju dalam bidang masing-masing,” katanya.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu bertempat di Stadium Negeri, hari ini.

Yaya mula mengusahakan kuih bakul dan kuih bulan berseorangan dari rumahnya di Kemaman pada 2016 dan kini mempunyai 65 pekerja.

Berkat usaha dan kesungguhan, perniagaannya bertambah maju dan turut menerima tempahan dari luar negara termasuk Qatar, Abu Dhabi, Russia, Australia, Kuwait, Korea Selatan, Thailand dan Singapura.

“Bila memulakan bisnes, saya hanya keluarkan dua perisa sahaja iaitu perisa asli dan durian. Sekarang saya sudah mempelbagaikannya kepada 32 perisa dan akan datang, saya akan keluarkan enam perisa tambahan dalam masa terdekat,” katanya.

Yaya banyak melibatkan diri dalam kemajuan dan pembangunan komuniti, antaranya sebagai penceramah jemputan dalam Persidangan Penolong Akauntan Sektor Awam Kebangsaan kali ke-13 (2018), panel jemputan ‘Biztalk Orang Muda’ Kemaman (2018) dan panel ‘Business Talk’ Sifu FB Ads (2017-2018).

Beliau juga pernah menerima anugerah Ikon Belia Terengganu pada tahun 2017.