KUALA BESUT -  Seorang warga emas perempuan dari Kampung Lay Out Tok Saboh, di sini, meninggal dunia dipercayai akibat denggi, pagi semalam.

Mangsa, Kasmah Deris, 62, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kelantan, kira-kira jam 6 pagi.

Anak mangsa, Rozaime Mohamad, 41, berkata, ibunya mula demam pada Isnin minggu lepas sebelum disahkan positif denggi selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Putih, Kelantan, Sabtu lepas.

Menurut Rozaime, ibunya kemudian dikejarkan ke HRPZ II, Kota Bharu, Kelantan namun keadaannya sudah tenat dan tidak sedarkan diri.

“Usaha doktor merawat ibu saya gagal kerana dimaklumkan beberapa organ pentingnya sudah tidak berfungsi manakala bacaan platelet darah rendah,” katanya.

Rozaime memberitahu, sebelum disahkan positif denggi, ibunya pernah menjalani pemeriksaan darah di sebuah klinik kesihatan lain.

Namun hasil pemeriksaan ketika itu, doktor memberitahu ibunya bukan demam denggi.

“Bagaimanapun selepas pulang ke rumah, keadaan emak saya tidak ada tanda sembuh sebaliknya keadaan semakin tenat memaksa dia dibawa ke HTA,” katanya.

Rozaime berkata lagi, pihak hospital mengesahkan kematian ibunya berpunca denggi dan jenazahnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Teluk Bayu, petang kelmarin.

Menurutnya, sekarang adiknya, Saiful Adli, 25, yang tinggal bersama arwah ibunya turut disahkan positif denggi dan menerima rawatan serta pemantuan berterusan.

“Ibu saya dipercayai dijangkiti demam denggi dari kawasan rumah atau sekitar rumah kerana dalam tempoh terdekat ibu tidak ke mana,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh ketika dihubungi memberitahu wanita tersebut setakat ini disyaki meninggal dunia akibat denggi dan pihaknya sedang menunggu laporan lengkap bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.