KUALA TERENGGANU –  Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim)  Terengganu komited menjalankan tanggungjawab pertubuhan dengan tidak ‘berkira’ untuk menyumbang tenaga dan wang ringgit.  

Pengerusinya, Toh Puan Kasma Mokhtar berkata, salah satu kunci kekuatan dan keaktifan di kalangan ahli wanita khususnya ahli jawatankuasa  ialah semangat kekitaan dan juga saling bantu membantu.

“Malah kami tidak 'berkira' untuk menyumbang tenaga dan wang ringgit. Sebab itu, banyak aktiviti sepanjang 2017 dibiayai sendiri oleh ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Agung Wanita Perkim Terengganu ke-17 di Kompleks Darul Hidayah, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.

Majlis dirasmikan Pengerusi Perkim Negeri, Prof Dr Ramle Abdullah.

Hadir sama, Naib Pengerusi, Ustaz Anuar Hassan dan Setiausaha Kehormat Perkim Abd Ghafar Mamat.

Malah dalam mesyuarat tersebut, beliau dan barisan ajknya dipilih sebulat suara untuk dikekalkan bagi penggal 2018-2019.

Selain itu, diadakan majlis sumbangan barangan makanan kering kepada saudara kita wanita yang hadir.

Dalam pada itu, beliau juga menggalakan lebih ramai kalangan wanita Islam profesional dan belia agar memantapkan lagi organisasi serta menjadi pelapis kepemimpinan pada masa depan.