KUALA TERENGGANU - Seorang wanita berputih mata selepas ditipu oleh sebuah agensi perkhidmatan pinjaman wang yang diketahui kewujudannya hanya melalui laman sosial, pada November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, akibat terlalu mudah percaya dengan tawaran hebat diperkenalkan, mangsa yang berusia 49 tahun itu terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2,450 kerana agensi tersebut enggan memberi kerjasama dan seterusnya gagal dihubungi selepas membuat pembayaran diminta.

Katanya, mangsa membuat pembayaran pertama pada 27 November lalu, dengan memasukkan RM950 ke dalam akaun sebuah bank diberikan dan seterusnya pada 30 November lalu berjumlah RM1,500 kononnya sebagai pembayaran pendahuluan.

“Agensi terbabit menawarkan pinjaman berjumlah RM20,000 kepada mangsa, bagaimanapun menetapkan beberapa syarat yang wajib dipatuhi di antaranya, menjelaskan bayaran pendahuluan yang dikenakan.

“Mangsa yang teruja dengan tawaran istimewa agensi tersebut tanpa berfikir panjang terus bersetuju mengikuti segala peraturan diberikan bagi membolehkan dirinya layak membuat pinjaman terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Idris berkata, sejurus menyelesaikan segala pembayaran diminta, mangsa cuba menghubungi talian yang sering dihubungi untuk berurusan sebelum ini, bagaimanapun wakil agensi tersebut enggan memberi kerjasama dan tidak mahu berbincang dengan cara baik.

“Mangsa gagal berbincang dengan wakil agensi terbabit memandangkan setiap kali cuba menghubunginya untuk bertanya status pinjamannya, mangsa akan dilayan dengan cara tidak baik.

“Bukan sahaja itu, wakil agensi tersebut juga menafikan pernah menawarkan perkhidmatan pinjaman wang kepada mangsa sehinggalah akhirnya wanita itu langsung tidak dapat menghubungi talian mereka,” katanya.

Jelas Idris lagi, mangsa yang menyedari dirinya sudah ditipu mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya, pada Sabtu lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :