KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (Harapan) Terengganu mengesahkan akan mempertaruhkan sekurang-kurangnya dua calon wanita bagi kerusi Dun pada PRU14 kali ini.

Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Harapan Terengganu, Azan Ismail ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat bagi menjadikan Terengganu sebagai negeri pertama di Pantai Timur yang memenuhi kuota 30 peratus penglibatan wanita dalam jawatan-jawatan dan pembuatan keputusan penting dalam kerajaan negeri.

Menurutnya, ia juga menandakan mereka serius dalam mengangkat martabat wanita serta ingin meletakkan status wanita di tahap yang sepatutnya.

“Perkara ini telah terabai sejak sekian lama dan refleksi daripada itu, PKR akan membariskan dua orang calon wanita. Maknanya, daripada 11 calon Dun yang diperuntukkan untuk PKR, ada dua wakil wanita.

“Mungkin akan ada lebih daripada Harapan. Kita akan umumkan calon-calon kita yang akan bertanding mewakili PKR dan parti lain selebihnya pada 20 April ini di Kuala Terengganu.

“Dalam manifesto kita sendiri, kita ketengahkan banyak perkara tentang kedudukan wanita, khususnya peluang untuk mereka menonjolkan diri dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Terengganu, baik dari segi keusahawanan, pendidikan dan sebagainya,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan PKR Terengganu di sini, semalam.

Azan yang juga Pengerusi PKR Terengganu berkata, peruntukkan kerusi PKR melibatkan dua kerusi Parlimen iaitu Dungun dan Kemaman serta 11 kerusi Dun iaitu Kota Putera, Permaisuri, Seberang Takir, Bukit Tunggal, Bandar, Alor Limbat, Kuala Berang, Telemong, Rantau Abang, Chukai dan Air Putih.

Beliau yang akan turut mempertahankan kerusi Dun Bandar berkata, semua calon sudah dimuktamadkan dan tiada perubahan lagi.

“Ada yang kata bekas wakil rakyat dari BN akan bertanding atas tiket Harapan, saya nafikannya tetapi apa yang boleh saya katakan, semua calon Harapan adalah orang tempatan.

“Calon PKR sendiri adalah ahli parti yang layak dan melalui saringan yang panjang, sebab itu kita lambat buat pengumuman sebab saringan kita sangat ketat. Kita tak nak ulangi episod, dikatakan menyokong komunis dan terlibat dengan pil kuda sebagaimana dalam pilihan raya lepas,” katanya.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar sekiranya Harapan berjaya menawan Terengganu, Azan berkata, calon dan pemilihan Menteri Besar adalah kuasa muktamad Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Ini klausa yang ada dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu. Kita akan mencadangkan dan terpulang atas perkenan tuanku untuk memilih calon selayaknya,” katanya.