BESUT - Kejayaan Wan Nur Mafudah Wan Yusof, 21, sebagai pelajar terbaik  dunia dalam kertas peperiksaan Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) membuktikan sistem pendidikan tinggi negara ke arah antara terbaik dunia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kejayaan Wan Nur Mafudah salah satu tanda aras sistem pendidikan tinggi negara berkemampuan untuk menjadi yang terbaik di dunia.

Menurutnya, sistem sekarang telah merangsang pelajar IPT untuk meraih kejayaan dalam bidang masing-masing tanpa mengira kaum asalkan mereka tekun dalam pelajaran.

“Kalau dahulu jurusan perakaunan merupakan jurusan yang dianggap susah tetapi sekarang sudah dapat memecah pemikiran tersebut kerana Wan Nur Mafudah bukan sahaja lulus tetapi dapat membuktikan beliau mampu menjadi pelajar terbaik ACCA dunia.

“Ia menunjukkan seseorang pelajar itu boleh berjaya sekiranya cekal dengan apa yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Besut berkata demikian selepas mengunjungi Wan Nur Mafudah yang pulang bercuti di rumah kedua ibu bapanya di Kampung Jawek dekat Jertih, di sini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri merangkap Adun Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof dan isteri, Toh Puan Norlida Daud.

Idris berkata, kejayaan pelajar tersebut dapat dijadikan contoh kepada seluruh pelajar Bumiputera bahawa kejayaan boleh dicapai sekiranya ada kesungguhan  dan  percaya dengan setiap yang dilakukan.

 Beliau turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Yayasan Peneraju Pendidkan Bumiputera dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana menaja biasiswa penganjian Wan Nur Wafudah dan pelajar perakaunan lain.

Terdahulu akhir Januari lalu, Idris menyampaikan sijil penghargaan yang dikeluarkan Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) kepada pelajar itu di  Pusat Pendidikan Aatarabangsa (INTEC), Shah Alam, Selangor tempat Wan Nur Mafudah belajar.

Semalam media menyiarkan kisah graduan INTEC itu yang menggondol tempat pertama dunia tahun ini dalam peperiksaan kertas ACCA yang didudukinya.