$entry.content.caption.value
JENAGOR – Penduduk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Telemong boleh menarik nafas lega kerana peruntukan sebanyak RM750,000 yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kepada setiap Dun berkaitan pelebaran dan kerja naik taraf jalan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, Rozi Mamat berkata, dana yang diberikan kepada setiap Dun itu akan digunakan sepenuhnya untuk jalan pertanian dan jalan kampung yang mempunyai masalah serta mendatangkan ketidakselesaan kepada penduduk.
“Kita akan tengok jalan pertanian dan kampung yang harus dilaksanakan segera mengikut keperluan penduduk kampung, sebab itu kita perlu merujuk kepada permohonan yang dibuat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kampung masing-masing.
“Kelulusan peruntukan ini juga bergantung kepada keperluan kerana terlalu banyak permohonan yang dibuat dan akan disenaraikan mengikut prioriti penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada Program Pengagihan Wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Dun Telemong di dewan Akademi Binaan Malaysia (ABM) di sini kelmarin.
Menurutnya, setakat ini terlalu banyak permohonan diterima, namun ia perlu dikaji dari pelbagai aspek supaya mengutamakan jalan bermasalah teruk serta mengambil kira kepentingannya kepada penduduk.
“Sekiranya semua sudah siap diproses, kerja-kerja melebar dan naiktaraf jalan akan dilakukan dalam masa terdekat dan diharap penduduk kampung bersabar,” katanya.
Sementara itu, Rozi berkata, permohonan peruntukan daripada JKKK bukan sahaja tertumpu kepada jalan sahaja, malah semua aspek pembangunan kampung kerana mereka sentiasa mengadakan mesyuarat berhubung pembangunan kampung.
“Melalui mesyuarat ini yang diselaraskan penghulu mukim di peringkat mukim masing-masing, mereka memohon macam-macam untuk tujuan itu antaranya balai raya, bilik gerakan, air dan juga elektrik,” katanya.
Bagaimanapun, untuk peruntukan yang diberi kali ini, pihaknya dipertanggungjawab menyelesaikan masalah jalan pertanian dan kampung terlebih dahulu dan tidak termasuk jalan utama.
“Mengenai jalan utama, ia adalah peruntukan lain, kerana ia hanya tertumpu kepada jalan pertanian dan kampung semata-mata,” katanya.
Manakala berhubung majlis, sejumlah RM1.17 juta diagihkan kepada seramai 2,348 penerima BR1M di Dun Telemong yang berlangsung selama dua hari berakhir kelmarin.





