KUALA BERANG - Umno Cawangan Kampung Pelam mengemukakan usul agar Pengerusi Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman melepaskan semua jawatan dalam parti berikutan kekalahan BN di negeri ini pada PRU14.

Usul tersebut dibawa Ketua Umno Cawangan Kampung Pelam, Zaki Sulong dan disokong ahli Umno Kampung Pelam, Rashid Ngah serta dipersetujui sebulat suara oleh ahli cawangan lain yang hadir pada Persidangan Umno Cawangan Kampung Pelam.

Persidangan berkenaan berlangsung hampir dua jam dihadiri 52 ahli Umno bertempat di rumah Zaki, malam tadi.

Menurut Zaki, usul tersebut dibawa agar Ahmad Razif tanggungjawab kepada semua ahli Umno di negeri ini atas kekalahan BN pada PRU14.

Beliau yang hampir 17 tahun menjadi ketua cawangan berkata, sebab utama BN tumbang di Terengganu adalah disebabkan pemilihan calon PRU tidak sesuai termasuk calon-calon kitar semula yang pernah kalah dalam PRU sebelum ini.

“Sebagai pemimpin Umno nombor satu di negeri ini, kita desak beliau (Ahmad Razif) undur diri atas dasar tanggungjawabnya kekalahan BN dalam PRU14 baru-baru ini. Calon dipertandingkan bukanlah kehendak rakyat.

“Senario ini dilihat berlaku di hampir setiap Parlimen termasuk di Hulu Terengganu sendiri seperti di kerusi Dun Ajil, Manir dan Kuala Berang. Kekalahan BN dengan hanya empat majoriti undi di Ajil amat mengejutkan.

“Jika kerusi-kerusi ini diletakkan calon baru saya percaya BN mampu menang sekali gus tadbir negeri ini. Jadi, langkah terbaik ialah beliau perlu tanggungjawab dengan lepas semua jawatan,” katanya.

Tambah Zaki, beliau secara peribadinya masih lagi tertanya sebab utama bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari  tidak tersenarai sebagai calon dalam PRU14.

“Orang yang begitu lama, pernah kalah dan tidak diterima sepenuh oleh rakyat di kawasan berkaitan dicalonkan, sedangkan Jailani baru satu penggal. Saya pertikai kerana lihat seharusnya Jailani terus dicalonkan bukan digugurkan.

“Atas dasar tanggungjawab, beliau telahpun lepas jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu serta semua jawatan dalam parti," katanya.

Beliau berkata, pada pendapatnya, Jailani tidak seharusnya meletakkan jawatan apatah lagi beliau tidak dipilih untuk bertanding pada PRU14, sebaliknya orang yang paling bertanggungjawab atas kekalahan Umno dan BN di negeri ini ialah Pengerusi Umno Terengganu.

Katanya, sudah tiba masanya Umno serta BN perlukan orang-orang baharu atau muda dan orang lama boleh berperanan sebagai penasihat serta pemerhati bukannya terus berkeinginan untuk menjadi calon.