• Rosol sempat beramah mesra dengan seorang penerima warga emas dari Kampung Peneh, Fatimah Daud,79, ketika Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Kepada Mangsa Banjir Daerah Hulu Teren Rosol sempat beramah mesra dengan seorang penerima warga emas dari Kampung Peneh, Fatimah Daud,79, ketika Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Kepada Mangsa Banjir Daerah Hulu Teren
1 /

KUALA BERANG - Pihak tertentu diingatkan supaya tidak salah faham dan membuat pelbagai persepsi dengan keprihatinan kerajaan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir pada musim tengkujuh kali ini.

Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid berkata, sumbangan berkenaan adalah bukti kecaknaan kerajaan bagi membantu meringankan beban rakyat dan ia tiada kena mengena dengan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang ataupun bertujuan untuk memancing undi.

“Sedia maklum, negeri-negeri di Pantai Timur pasti dilanda banjir ketika musim tengkujuh pada setiap akhir tahun. Bencana ini turut melanda Terengganu termasuk di daerah Hulu Terengganu dan pelbagai bantuan akan disalurkan kepada mangsa setiap kali berlakunya banjir.

“Sehubungan itu, pihak tertentu diharapkan tidak terus beranggapan bantuan diberikan kepada mangsa banjir musim tengkujuh kali ini bertujuan untuk memancing undi hanya kerana secara kebetulan ia berlaku ketika PRU13 semakin hampir.

“Dalam hal ini, rakyat juga diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tanggapan dilemparkan pihak tertentu sebaliknya membuat penilaian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan kepada Mangsa Banjir Daerah Hulu Terengganu 2012 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini, kelmarin melibatkan seramai 242 penerima.

Rosol juga terkilan jika ada dalam kalangan penjawat awam yang menentang kerajaan dan perkara itu tidak harus berlaku memandangkan golongan berkenaan makan gaji dengan kerajaan.

“Kita tidak memaksa seseorang individu bekerja dalam sektor kerajaan, sebaliknya mereka sendiri secara sukarela memohon, hadiri temu duga dan menerima untuk berkhidmat sebagai penjawat awam.

"Tidak seharusnya, mereka kemudiannya pula menentang kerajaan," katanya.