PERMAISURI - Kolej Universiti Bestari (UCB) melalui Yayasan Wakaf Pendidikan Anak Yatim dan Miskin Malaysia (Yawatim) Asean bakal membuka cawangan baharunya bernilai RM10 juta di Pekan Baru, Indonesia.

Universiti itu akan memberi keutamaan kepada anak yatim dan golongan miskin yang dijangka siap pada tahun 2020.

Pengerusi Yatim Asean juga selaku Pengerusi Lembaga Pengelola UCB, Datuk Tengku Mahmud Mansor berkata, tapak berkeluasan 100 hektar itu dihibah mantan Penasihat Undang-undang Gabenor Riau,  Hasymi Majidi bagi tujuan pendidikan anak yatim dan miskin.

“Alhamdulillah kami mendapat tanah seluas 100 hektar di Pekan Baru yang dihibah anak jati di kawasan itu.

“Perkara yang di luar jangka ini dipermudahkan lagi apabila mendapat kerjasama daripada  Yawatim Asean di sana.

Beliau berkata demikian pada Majlis Meraikan RombonganHasymi Majidi dan Yawatim Asean di Dewan Teater UCB.

Hadir sama, Ketua Yawatim Asean Surabaya Mohammad Kholid Abd Hamid, wakil Yawatim Asean Riau, Ahmad Chudhori bersama 40 lagi delegasi dari Indonesia.

Tengku Mahmud berkata, 20 hektar daripada keseluruhan tanah itu akan dibangunkan cawangan UCB manakala selebihnya akan dijadikan tapak pertanian.

“Kita akan guna 20 hektar daripada keluasan tanah itu untuk bina cawangan UCB dan selebihnya akan ditanam kelapa sawit, sayuran dan banyak lagi sebagai punca pendapatan  menampung kos di universiti berkenaan,” katanya.

Universiti yang bakal dikenali sebagai Universitas Peyatim Asean menawarkan tiga bidang iaitu Diploma Hospitaliti meliputi pelancongan, kulinari dan perhotelan, Diploma Pengurusan Perniagaan dan Ekonomi serta Diploma Pertanian.

“Kos keseluruhan bagi pelaksanaan pembangunan fasa pertama itu dijangka akan menelan kos RM10 juta,” katanya.

Dalam masa sama, Tengku Mahmud berkata, mereka juga akan menggunakan konsep penjualan tanah wakaf untuk pembangunan pendidikan, sama seperti yang sedang dilaksanakan di kolej itu.

“Tanah itu akan dimajukan secara berperingkat dan diagihkan kepada lot jualan tanah wakaf dengan harga RM15 bagi satu per 10 meter persegi," katanya.

“Proses penjualan tanah wakaf itu akan mula dilaksanakan pada bulan puasa (Ramadan) ini,” katanya.