GONG BADAK - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM) menandatangi Memorandum Perjanjian (MoA) dalam bidang penyelidikan dengan Universitas Nasional (Unas) Indonesia.

Melalui perjanjian itu, kedua-dua belah pihak akan menjalankan penyelidikan secara bersama dalam tempoh tiga tahun.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, kerjasama itu juga turut merangkumi kajian ke atas tanaman ubat-ubatan dan herba di Malaysia dan Indonesia.

"Selain memberi fokus dalam bidang penyelidikan, kita juga akan adakan program pertukaran pelajar dan pensyarah.

"Kita harap dengan adanya program tambahan iaitu aktiviti pertukaran pelajar dan pensyarah ini nanti akan memantapkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara,"katanya ketika ditemui pada majlis menandatangi MoA itu.

Menurut Ahmad Zubaidi lagi,  MoA yang ditandatangani itu adalah kesinambungan daripada MoU yang telah dimeterai pada 3 November 2015 yang lalu.

"Saya harap dengan termeterainya perjanjian penyelidikan ini, fakulti akan lebih maju ke hadapan dalam usaha untuk memartabatkan misi dan objektif penyelidikan serta  akademik FBIM melalui hubungan antarabangsa dengan universiti luar negara" katanya.

Sementara itu, dalam majlis MoA tersebut, UniSZA diwakili Ahmad Zubaidi sendiri, manakala Unas diketuai Wakil Rektor Bidang Penelitian dan Pengabdian Masyarakat UNAS, Prof. Dr. Ernawati Sinaga, M.S. A.