KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengumumkan pelepasan khas selama dua hari kepada penuntut universiti itu sempena PRU14.

Pelepasan khas itu diberikan pada 8 dan 9 Mei iaitu sehari sebelum dan selepas mengundi bagi membolehkan penuntut pulang ke kampung halaman untuk menunaikan tanggungjawab mereka rakyat negara ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, pihak pengurusan membuat keputusan itu bagi memastikan penuntut diberi peluang untuk mengundi pemimpin selari dengan sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Menurutnya, bagi memastikan proses pembelajaran dan silibus berjalan seperti dirancang, kelas ganti perlu dibuat oleh pensyarah terlibat nanti.

“Kelas yang tertangguh perlu digantikan sebaik sahaja penuntut-penuntut ini pulang ke kampus nanti.

“Mana-mana kelas atau aktiviti yang terlibat pada dua tarikh itu perlu diganti semula mengikut kesesuaian jadual pengajaran,” katanya.

Jelasnya, ketika ini terdapat seramai 4,112 penuntut di universiti itu yang layak mengundi pada 9 Mei nanti.

“Justeru pihak pengurusan universiti juga menggalakkan semua pelajar agar mengambil peluang dan keluar mengundi pada tarikh yang ditetapkan itu,” katanya.