KUALA TERENGGANU - Kajian terhadap pelaksanaan hukum hudud yang merupakan cabang jenayah syariah adalah satu perkembangan positif malah ia merupakan hasrat murni yang perlu disokong semua pihak untuk memberikan yang terbaik bagi umat Islam di negeri ini.

Imam Besar Masjid Negeri, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, sehingga kini, proses penerangan mengenai hukum itu tidak terhenti malah ia dilaksanakan di semua peringkat oleh banyak pihak.

Menurutnya, kajian dan seminar termasuk di peringkat pusat menunjukkan sokongan terhadap pelaksanaan hukum Islam itu, bagaimanapun, pelaksanaan dan penguatkuasaan terhadap hukuman itu tertakluk terhadap beberapa perkara.

“Kita sebenarnya telah mempunyai enakmen hudud, qisas dan takzir yang diluluskan Dun pada 2001, namun, keputusan pelaksanaan hukum hudud di peringkat negeri memerlukan kajian dan perbincangan secara telus dari semua pihak.

“Walaupun hukum ini bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan, saya secara peribadi menyokong pandangan yang disuarakan exco kerajaan, bagi melaksanakan undang-undang Islam ini kerana ia adalah undang-undang terbaik untuk umat Islam,” katanya

Aizi Saidi menjelaskan perkara itu ketika ditanya mengenai cadangan exco kerajaan negeri, Ghazali Taib bahawa Terengganu mampu melaksanakan undang-undang Islam dan akan menjadikan Aceh sebagai rujukan ketika lawatannya ke negeri itu, baru-baru ini.

Aizi Saidi berkata, dari segi pemahaman mengenai hukuman hudud itu sendiri, umum sedia maklum bahawa ia khusus untuk umat Islam dan tidak melibatkan orang bukan Islam.

“Orang bukan Islam ada undang-undang mereka sendiri iaitu di bawah undang-undang sivil, jadi, seharusnya hukuman ini bukan satu perkara yang menakutkan bagi orang bukan Islam dan orang Islam sendiri kerana bukan mudah untuk sabitkan bagi satu-satu kesalahan,” katanya.

Menurutnya, hukum hudud sebenarnya telah lama termaktub dalam undang-undang negeri ini, dan kebanyakan masyarakat telah faham mengenai keperluan hukum hudud.

“Semua sedia maklum, hudud undang-undang dari Allah SWT, hukum hudud juga adalah salah satu bentuk pencegahan dan pelaksanaan hukuman bagi setiap kesalahan bukan dilakukan sewenang-wenangnya.

“Sekiranya kerajaan negeri mengatakan pelaksanaannya atau penguatkuasaan hukum ini sedang di peringkat kajian dan penelitian, ia adalah satu perkembangan positif bagi umat Islam di negeri ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.