KUALA TERENGGANU - Mangsa ribut di Dun Buluh Gading turut mendapat bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Tengku Nuriah Tengku Abdul Rahman berkata, pihaknya terpanggil membantu mangsa berkenaan berikutan simpati dengan nasib menimpa mereka.

Menurutnya, ia juga bersempena tema UMT tahun ini iaitu Kasih Sayang dan Komuniti Hijau, pihaknya tampil menghulurkan bantuan kepada komuniti.

"Sebenamya kami ada mendengar mengenai kejadian ribut yang berlaku di beberapa kampung di Dun Buluh Gading.

"Disebabkan itulah kami kumpul pelajar dan juga kakitangan untuk pergi ke beberapa buah kampung di Dun Buluh Gading membantu apa yang patut," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor HEPA, Profesor Ts Dr Che Mohd Ruzaidi Ghazali dan Majlis Perwakilan Pelajar.

Tengku Nuriah berkata, dalam Misi Kemanusiaan UMT kepada Mangsa Ribut di Dun Buluh Gading, pihaknya turut menyumbang barangan keperluan makanan.

Peserta yang mengikuti misi berkenaan juga membantu mangsa ribut mengemas barangan rumah dan mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan rumah dan juga mengangkut barang bagi meringankan beban mereka.

"Kami datang satu bas ke kawasan berkenaan dan difahamkan sebanyak 632 rumah dilanda ribut di sini (Dun Buluh Gading), jadi kami datang bawa sekali barang makanan seperti beras, tepung gandum dan banyak lagi," katanya.

Menjelaskan mengenai misi itu, Nuriah berkata, misi-misi kemanusiaan UMT dijalankan dari semasa ke semasa malah banyak telah dilakukan sebelum ini seperti di Besut dan Kuala Nerus.

Katanya, UMT sememangnya mempunyai pasukan  pelajar yang menjadi sukarela di mana mereka bersedia mrmbantu komuniti dalam pelbagai situasi seperti banjir, ribut dan sebagainya.