KEMAMAN - “Saya tak jenero (lena) tidur nak jumpa baginda hari ini, tidur pun sampai termimpi-mimpi muka anakanda baginda Sultan Mizan,” kata Osman Mamat, 66, seorang daripada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, di sini.

Beliau dan penghuni PPS itu hari ini bertuah kerana menerima kehadiran Yang Dipertuan Muda  Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bersama adindanya, Tengku Muhammad Mua’az.

Osman yang juga pesakit strok dan tidak mampu berjalan berkata kepada Bernama, kehadiran kedua-dua putera Sultan Terengganu itu merupakan satu penghormatan bagi beliau apabila dapat melihat baginda secara berhadapan.

Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua’z mencemar duli ke pusat itu bagi  menyampaikan sumbangan kepada 200 ketua keluarga mangsa banjir yang menghuni pusat itu sejak semalam.

Selain itu, baginda berdua juga dijangkakan menunaikan solat Jumaat di Masjid Meraga Beris, Kijal sebelum bergerak ke pusat pemindahan yang lain di daerah itu.

Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Maria @ Maziah Wok, 67, turut menyatakan kegembiraannya dapat berjumpa dan menerima sendiri sumbangan daripada Yang Dipertuan Muda.

“Sebelum ini tak pernah pun mimpi akan dapat jumpa baginda macam ini, hanya tengok baginda dekat televisyen saja, alhamdulillah hari ini akhirnya dapat berjumpa secara dekat,” katanya. - Bernama