CHUKAI - Ahli Umno Bahagian Kemaman kini bersiap sedia sepenuhnya menjalankan tugas berkempen bagi memastikan kelima-lima kerusi di Parlimen Kemaman menjadi milik BN dalam PRU14 bulan depan.

Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pihaknya juga akan berusaha menawan kembali kerusi Dun Chukai yang jatuh ke tangan Pas pada PRU13, lima tahun lalu.

Menurutnya, walaupun usaha ditumpukan untuk mengembalikan semula kerusi Dun Chukai ke pangkuan BN,  namun empat lagi kerusi iaitu Parlimen Kemaman dan tiga Dun iaitu Kemasik, Kijal dan Air Putih yang menjadi milik BN tetap diberi tumpuan dan keutamaan bagi memastikannya kekal disandang wakil BN.

“Walaupun kita mahu rampas semula Dun Chukai tapi setakat ini kita masih berpegang pada sasaran kerusi 4-1, iaitu kekalkan empat kerusi yang ada.

“Namun kita juga akan berusaha untuk menjadikan keputusannya 5-0 iaitu kita sapu bersih kesemua kelima-lima kerusi,” katanya ketika ditemui pada Pesta Sukan Hari Keluarga Dun Kijal di Pantai Teluk Kalong, kelmarin.

Dalam PRU13 lalu, calon Pas, Hanafiah Mat yang memperoleh 12,457 undi berjaya memenangi kerusi Dun Chukai setelah menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang memperoleh 10,011 undi dengan majoriti 2,446 undi.

Kekalahan itu sedikit sebanyak memberi tamparan buat Umno kerana Kemaman sememangnya dikenali sebagai salah sebuah kawasan kubu kuat Umno di negara ini.

Enggan menoleh ke belakang, Ahmad yang juga Adun Kijal dan bekas menteri besar berkata, ketika ini ahli Umno di daerah ini sangat bersemangat menunggu tarikh pengundian pada 9 Mei depan.

“Sebelum Parlimen dibubarkan pun, ahli kita sudah siap-siap menaikkan dan memacak bendera,” kata beliau.

Sementara itu, Ahmad berkata, Pesta Sukan Hari Keluarga Dun Kijal menjadi medan untuk menyatukan ahli-ahli Umno Dun Kijal.

“Ini merupakan program tahunan kita dan pada program ini diadakan pertandingan antara cawangan Umno seluruh Kijal.

“Peserta yang terlibat kali ini melebihi 3,000 orang dan ia adalah sambutan yang sangat memberangsangkan.

"Tarikannya pada kali ini  adalah dari segi hadiah lumayannya iaitu set peralatan memasak berjenama yang kita beli di Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir,” katanya.