KUALA TERENGGANU – Umno Bahagian Kuala Terengganu berjaya mendapat keputusan 10 teratas atau ‘top ten’ dari segi pertambahan keahlian dan daftar pemilih tertinggi melibatkan 191 Umno bahagian dari seluruh negara.

Pengerusi Biro Media dan Perhubungan Awam Umno Bahagian Kuala Terengganu, Ahmad Zamri Sulong berkata, perkara tersebut diumumkan ketika Perhimpunan Agung Umno 2017 yang berlangsung pada 5 hingga 9 Disember lalu.

Menurutnya, walaupun bukan mendapat tempat pertama, namun kedudukan 10 teratas sudah cukup membuktikan Umno Bahagian Kuala Terengganu tidak mengambil mudah soal pertambahan keahlian dan daftar pemilih dalam memperkuat kedudukan parti di pelbagai peringkat.

“Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Umno Bahagian Kuala Terengganu mendapat tempat kelapan daripada kesemua Umno bahagian di seluruh negara. Ia adalah sesuatu yang bermakna dan cukup membanggakan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Ahmad Zamri berkata, kejayaan tersebut lebih manis apabila Biro Teknologi Maklumat dan Media Sosial Umno Bahagian mendapat tempat ketiga sempena pertandingan infografik manakala sayap Puteri Umno Bahagian Kuala Terengganu mendapat tempat kedua sempena pertandingan penambahan keahlian melibatkan kesemua Puteri Umno bahagian dari seluruh Malaysia.

Ia secara tidak langsung katanya, menunjukkan gerak kerja dijalankan di bawah Umno Bahagian Kuala Terengganu diketuai Datuk Mohd Sabri Alwi telah berjaya menunjukkan prestasi membanggakan.

Beliau berkata, ia juga merupakan pencapaian pertama kali diperoleh biro-biro itu dan merupakan satu pengiktirafan serta menambah semangat ahli-ahli untuk memastikan gerak kerja lebih baik.

Dalam masa sama katanya, pencapaian itu juga membuktikan Umno bahagian mampu meletakkan organisasi itu di kedudukan tersendiri sekaligus membantu mengukuhkan kedudukan Umno di peringkat negeri dan Pusat.

“Gerak kerja yang dilakukan ini bukanlah kerja bermusim atau ketika dekat pilihan raya tetapi ia dilakukan sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu katanya, amanat, pandangan dan teguran pemimpin tertinggi parti sempena Perhimpunan Agung Umno 2017 menyuntik semangat ahli-ahli khususnya perwakilan untuk memastikan gerak kerja berlangsung secara padu setelah pulang ke kawasan masing-masing.

Antaranya, termasuklah mentaliti untuk menang khususnya dalam berhadapan cabaran semasa bagi pastikan kemenangan pada PRU14 apatah lagi BN gagal dapat sebarang kerusi di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU lepas.